Kehadiran atau perkenalan dengan orang yang istimewa dalam hidup lazimnya akan diingati sepanjang hayat.

Begitulah juga bagi pengusaha kedai Songkok Style Tun, Sardi Sahar, yang menjalankan perniagaan di Kompleks Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah.

Di situlah dia mula mengenali seorang individu yang sangat berpengaruh dan tinggi kedudukan dalam masyarakat ketika itu.

Sardi tidak akan lupa kenangan pertama mengenali figura bernama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Meskipun disanjung rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri, personaliti hebat itu bagaimanapun tercatat sebagai pelanggan di kedainya.


Dalam pemerhatian Sardi, Dr Mahathir memiliki sifat yang amat disenangi, malah dia mengakui tidak kekok untuk bersembang dengan individu nombor satu negara itu.

Hal itu disebabkan pembawaan santai Dr Mahathir sendiri yang selesa dan mesra dengan setiap orang yang ditemuinya.

“Saya sembang dengannya umpama bersembang dengan kawan,” ujarnya.

Tapi yang penting, menurut Sardi, "Beliau akan pastikan beliau mendapat songkok yang dia minat dan dikehendakinya.”


Sardi memberitahu, Dr Mahathir pernah menitipkan kata-kata galakan dan nasihat kepadanya khususnya mengenai hal-hal keusahawanan.

“Untuk kita sebagai ahli perniagaan ini, Tun selalu berpesan kepada saya, kalau nak berniaga kena betul-betul rajin, berusaha lebih dan pandai (menjaga) kewangan iaitu jangan boros,” ceritanya.

Lebih istimewa tidak lama selepas itu, Sardi mendapat kebenaran daripada Dr Mahathir sendiri untuk menggunakan nama dan gambar pemimpin itu pada jenama songkoknya.

“Apabila saya sudah hasilkan pengeluaran songkok (dengan jenama baharu) itu, Tun Mahathir telah datang balik ke Pekan Rabu untuk bertemu saya.

“Tun berpesan, ‘I nak, you buat songkok ni elok-elok, dan you jaga kualiti, sebab ni gambar I’. Dan beliau tidak meminta apa-apa (royalti) pun daripada saya. Itu saya tidak akan lupa,” kata Sardi.

Bagaikan satu putaran takdir, individu itu kini, selepas puluhan tahun berlalu, kembali menjadi pemimpin tertinggi negara.

Sempena tarikh 10 Julai 2018 ini, Sardi tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran buat insan yang membawa impak besar buatnya.



BACA: Lancar lagu untuk Tun Mahathir, Aizat Amdan nafi oportunis

BACA: #TunM93: Pemimpin tersohor, namun kekal merendah diri

BACA: Ucapan hari jadi Dr Mahathir terus mencurah masuk di platform media sosial Astro AWANI