Tunggu Apple Inc selesai isu akses MyTrace di iOS - Khairy

Umavathi Ramayah
Mei 11, 2020 18:07 MYT
Khairy Jamaluddin memberitahu, isu membabitkan versi Apple Inc bukan disebabkan pembuat aplikasi sebaliknya di peringkat Apple Inc.
Malaysia sedang menunggu kelulusan daripada Apple Inc bagi mengatasi isu pengaksesan aplikasi MyTrace, yang digunakan untuk memantau pergerakan orang ramai bagi tujuan pengesanan kontak dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin memberitahu, isu membabitkan versi iOS bukan disebabkan pembuat aplikasi sebaliknya di peringkat Apple Inc.
Menurutnya, aplikasi MyTrace memerlukan kebenaran untuk menggunakan fungsi Bluetooth untuk beroperasi seperti biasa.
"Macam sekarang aplikasi itu hanya berfungsi di foreground dan akan terhenti apabila pengguna beralih ke aplikasi lain," katanya dalam program Cerita di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Khairy menjelaskan isu itu bukan sahaja berlaku di Malaysia sebaliknya juga berlaku di negara-negara lain.
"Saya dimaklumkan Apple Inc sedang berusaha dengan Google untuk menyelesaikan isu ini.
"Harap dalam masa terdekat boleh selesaikan dan Apple Inc boleh mengemaskini aplikasi itu bukan sahaja di background namun juga di foreground," ujarnya.
Walaupun begitu katanya, pengguna telefon bimbit jenis Android tidak berdepan dengan masalah itu dan boleh memuat turun aplikasi MyTrace di Google PlayStore.
BACA: 'Jangan risau, saya tidak tahu anda di mana' - Khairy Jamaluddin
#Android #apple inc #CMCO #COVID-19 #iOS #iPhone #Kementerian Sains dan Teknologi #Khairy Jamaluddin #PKPB
;