Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.45 pagi di Taman Rainbow Sentul sebelum berlarutan hingga ke Jalan Kuching.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju, namun bertindak meninggalkan kenderaan yang digunakan setelah dikejar oleh anggota polis di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, semakan ke atas kenderaan berkenaan mendapati ia berdaftar atas nama sebuah syarikat penyewaan kenderaan, manakala usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.
Video kejadian turut tular di media sosial yang memaparkan detik kejar mengejar oleh polis yang berjaya mengesan kenderaan disyaki sebelum ia ditinggalkan suspek.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan pihak terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.
