Rakyat negara ini terkenal dan sinonim dengan sikap menghormati peraturan jalan raya.

Walaupun tidak dinafikan peningkatan jumlah kemalangan terutama pada musim perayaan selain angka kematian tertinggi pada Op Selamat 7 yang mencatatkan 330 kematian dalam tempoh 15 hari operasi tersebut dari 10 Julai hingga 24 Julai lalu sekaligus terburuk dalam sejarah sejak operasi bersepadu itu dimulakan pada tahun 1994, asasnya masyarakat negara ini masih dikategorikan masih dan tetap bersopan semasa memandu.

Salah satu aspek penting semasa memandu adalah mematuhi lampu isyarat. Bayangkan situasi jalan sesak dan lampu isyaratnya pula rosak, sudah tentu trafik akan menjadi kelam kabut selain pengguna jalan raya sendiri pasti terdedah dengan risiko kemalangan.

Setiap warna lampu isyarat mempunyai maksud masing-masing.

Perhimpunan di negara ini juga suka mengikut tema warna lampu isyarat. Sedar tidak sedar, Bersih 1,2,3 dan 4 baru-baru ini mengagungkan warna kuningnya dan tema itu sudah sebati dalam jiwa pengikut fanatik mereka.

Lihat sendiri setiap perhimpunan Bersih yang dianjurkan, pelbagai versi jumlah keseluruhan peserta diberi dengan bukti gambar-gambar yang tidak kurang gahnya. Ada yang mendakwa perhimpunan Bersih 4 yang diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini disertai 30,000 peserta, ada juga yang mendakwa 80,000 malah ada juga yang melihat dan menganggarkan sehingga 200,000 atau lebih lagi peserta yang 'turun' pada satu-satu masa puncak pada hari berkenaan.

Itu kita letak kepada penilaian masing-masing untuk menentukannya.


Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan sebelum sambutan Hari Malaysia bukanlah noktah kepada perhimpunan di negara ini - Gambar Fail

Walaupun perhimpunan itu sendiri diklasifikasikan sebagai satu perhimpunan haram, ia tetap dihadiri oleh golongan tertentu dan dikejutkan dengan 'penampilan' istimewa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah realitinya ia sudah berakhir lebih dua minggu lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga dikatakan sudah menghantar bil berjumlah RM65,000 kepada penganjur perhimpunan Bersih 4, Maria Chin Abdullah bagi proses pembersihan kawasan perhimpunan terbabit.

Kita berharap semuanya akan cepat selesai

Namun, kesesakan yang dicipta Bersih 4 sebenarnya bukan noktah kepada rali perhimpunan di negara ini. Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu hari ini, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebenarnya mencetus polemik baharu dalam gaya hidup rakyat.

Pelbagai cemuhan yang diterima oleh penganjur Bersih 1,2,3 dan 4 sebelum ini terutama menjadi punca kesesakan ibu kota dan mengganggu masa cuti untuk bersama keluarga membeli belah di Kuala Lumpur seolah-olah 'ditelan' semula oleh Himpunan Rakyat Bersatu.

Bagaimanapun, mereka mempunyai objektif tersendiri yang dikatakan berlainan selain misi perjuangan yang mahu membuktikan satu bentuk penyatuan kepada rakyat Malaysia.

Memilih baju merah untuk menunjukkan solidariti dan memilih tarikh sama dengan Hari Malaysia untuk berhimpun, mungkin tidak ada bezanya jika hendak dibandingkan kumpulan merah ini dengan kuning dari aspek pemilihan tarikh.

Modus operandi yang digunakan juga seperti tidak berbeza dengan Bersih, berarak dan berhimpun, bagaimana jaminan keadaan akan tidak menjadi kucar-kacir seandainya perhimpunan kuning itu menjanjikan sekurang-kurangnya 30,000 peserta daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO).

Shahir Omar
Ribuan peserta Himpunan Rakyat Bersatu di Bukit Bintang dan berarak ke Padang Merbok pada Hari Malaysia - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Nasib baik juga Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sempat menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan supaya mematuhi segala peraturan yang ada.

Katanya, kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi untuk menggunakan lokasi Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan harus dihormati selain mengharap agar jalan raya di sekitar ibu negara tidak diusik oleh mana-mana pihak.

Tengku Adnan berkata sekiranya syarat dan peraturan diingkari, perhimpunan itu menjadi haram dan kelulusan akan dibatalkan serta-merta.

Bagaimanapun, sudah jelas peserta perhimpunan akan mula berkumpul di Bukit Bintang pada pukul 11 pagi dan berarak ke Padang Merbok pada pukul 3 petang.

Tiga lagi lokasi 'check point' yang ditetapkan adalah di Masjid Negara, Masjid Al Bukhary di Jalan Hang Tuah dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay.

Jadi di manakah logiknya frasa jalan raya yang 'tidak diusik' itu jika jadual peserta berkumpul dan berarak?

Di mana jaminan peserta 'Baju merah' tidak akan menggunakan jalan raya sebagai tempat berarak?

Kita tunggu dan lihat

Rupa-rupanya Himpunan Rakyat Bersatu masih bukan menjadi noktah perhimpunan di negara ini.

Bagaimana tidak, kenyataan Pengarah 'Himpunan 60 Ribu (H60K), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengumumkan mahu menganjurkan satu lagi perhimpunan 'baju hijau' pada 17 Oktober depan membuktikan segalanya.

Katanya, misi himpunan itu berkait rapat dengan krisis politik Malaysia selain desakan akar umbi Pas sendiri yang mahukan perhimpunan.

Mungkin himpunan itu terjemahan maksud istiqamah Pas seperti dikata Nik Abduh sendiri selain tidak lupa menjemput semua parti termasuk PKR, DAP, BN serta NGO sendiri untuk menyertai perhimpunan hijau itu, pasti ia menjanjikan satu perhimpunan yang menarik.

Bezanya mungkin perhimpunan hijau itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu dan bukan di Kuala Lumpur.

Ini bermakna lengkaplah putaran perhimpunan kuning, merah dan hijau sama seperti sistem lampu isyarat.

Harus diingat, tiga lampu ini sebenarnya saling perlu memerlukan dalam memastikan perjalanan trafik lancar tanpa sebarang masalah di jalan raya.

Jadi sebenarnya tidak timbul isu untuk mana-mana pihak menunjukkan kekuatan masing-masing atau gah dengan penganjuran atau jumlah peserta perhimpunan mereka.

Paling penting kesedaran keperluan atau kerjasama kuning,merah dan hijau selama ini dalam mengatur perjalanan masyarakat supaya lebih tersusun, tidak menjadi kucar-kacir atau sengaja menyumbang kepada statistik vandalisme individu dan masyarakat yang mahu merosakkan lampu isyarat.

Bagaimana mungkin sebuah himpunan yang mendapat atau tidak permit penguasa boleh mengubah percaturan pentadbiran Kerajaan sedia ada.

Jika mahu juga, tunggu pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan bersedia untuk menukar terus 'tiang lampu isyarat' jika tidak berpuas hati dengan 'tiang' sedia ada hari ini.

Namun harus diingat, selagi namanya lampu isyarat, selagi itu asas, maksud dan paksinya tidak boleh berubah, lampunya akan tetap berwarna kuning, merah dan hijau.