MUALLIM: Tujuh individu cedera dalam satu kemalangan melibatkan 10 buah kenderaan di lampu isyarat berhampiran Tol Behrang, dekat sini, petang Rabu.

Kejadian berlaku selepas sebuah lori dikatakan telah merempuh sebuah pacuan empat roda, tiga kereta dan lima motosikal.

Bagaimanapun, mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati seorang lelaki berusia 37 tahun sedang memandu lori jenis Isuzu dari arah Slim River ke Tanjung Malim.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu telah hilang kawalan dan melanggar sembilan buah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat Tol Behrang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Pemandu juga boleh hilang kelayakan lesen lebih daripada lima tahun, jika sabit kesalahan.