Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) mengesahkan 7 amaran kebakaran atau fire alert dikesan melibatkan 2 syarikat perladangan Malaysia ketika kejadian kebakaran di Riau, Sumatera baru-baru ini.6 daripadanya direkodkan di dalam sempadan ladang konsesi milik Sime Darby dan 1 di ladang milik Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Ia dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha agung RSPO, Darrel Webber di laman web rasmi entiti itu bertarikh 11 Julai. Menurut Webber, analisis dikendalikan World Resources Institute, WRI dengan kerjasama saintis yang juga pakar Sistem Maklumat Geografi (GIS), Dr. Khali Aziz Hamzah dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Analisis turut mendapati 3 amaran kebakaran dicatat untuk ladang milik Golden Agri Resources (GAR) dan tiada amaran api dikesan untuk sebuah lagi syarikat perladangan Malaysia milik Tabung Haji Plantations.

RSPO mengendalikan analisis berkenaan susulan laporan media mengenai penglibatan 5 syarikat yang menganggotai RSPO terlibat dalam kebakaran di Indonesia pada Jun yang mengakibatkan jerebu teruk di rantau Asia Tenggara.

Sehingga 9 Julai, hanya peta digital yang dikemukakan PT Jatim Jaya Perkasa tidak dapat dianalisa kerana format yang tidak bersesuaian. Tambah Webber, penilaian Dr. Hamzah turut berdasarkan peta digital yang dibekalkan Active Fire Data dari National Aeronautics and Space Administration (NASA) bagi 1 hingga 26 Jun dan semua amaran kebakaran berlaku kurang daripada 24 jam.

Sementara itu, Sime Darby apabila dihubungi Astro Awani menjelaskan bahawa RSPO mengesahkan syarikat itu tidak terlibat di dalam aktiviti pembakaran terbuka sewaktu isu jerebu melanda pada akhir bulan Jun lalu. Menurut RSPO, Sime Darby dan beberapa syarikat tertentu telah berjaya menguruskan kebakaran di ladang mereka dalam tempoh 24 jam ia dikesan.

RSPO juga telah memutuskan syarikat terbabit ini telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam menangani masalah kebakaran ladang. Sime darby dalam kenyataan balasnya juga menegaskan mereka mengamalkan polisi kebakaran sifar sejak 80an, sebelum menyertai RSPO.