Tujuh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah bersabit penipuan pengeluaran wang oleh mahkamah pada suku kedua 2015.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, mereka dituduh mengikut Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda sebanyak RM10,000.

Menurutnya, pesalah terbabit dikenakan denda di antara RM500 dan RM3,000 serta diarah membayar balik keseluruhan jumlah yang dikeluarkan secara tidak sah itu.

"Pengeluaran secara menipu adalah kesalahan yang serius dan ahli yang didapati bersalah menghadapi hukuman berat dan mereka tidak lagi layak mengeluarkan wang KWSP mereka untuk skim tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Naim berkata, 18 kes dikemukakan ke atas ahli kerana pengeluaran secara menipu dalam tempoh itu.

Enam daripada tujuh ahli terbabit didapati bersalah kerana pengeluaran wang untuk perumahan secara tidak sah dan seorang lagi kerana pengeluaran wang disebabkan hilang upaya.

Beliau menasihatkan ahli KWSP agar tidak menggunakan ejen atau sindiket bagi mengeluarkan wang KWSP, sebaliknya berurusan terus dengan KWSP kerana ia tidak mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan itu.

Mohd Naim menggesa ahli KWSP berhati-hati dengan ejen atau sindiket yang mengenakan bayaran tinggi untuk perkhidmatan mereka, yang selalunya dipromosi melalui laman sesawang, kad perniagaan dan risalah.

KWSP mempunyai sistem yang menyeluruh untuk mengenal pasti dan mengesan kes penipuan pengeluaran, termasuk selepas wang telah dikeluarkan serta cubaan penipuan pengeluaran dan tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah terbabit, tambahnya

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penipuan boleh menghubungi Hotline Anti-Penipuan KWSP di 03-2616 2121 ketika waktu pejabat daripada Isnin hingga Jumaat.