Tugas guru kaunseling bukan setakat memberi nasihat kepada pelajar berkaitan masalah disiplin tetapi turut berperanan memotivasikan mereka terutama bagi yang bakal menduduki peperiksaan, kata Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan.

Yang Dipertuanya Mohd Saleh Ismail berkata peranan guru kaunseling adalah bersandarkan kepercayaan setiap pelajar mempunyai ruang dan peluang untuk mencatat kecemerlangan.

"Jadi di sini tugas kami sebagai guru kaunseling adalah membimbing dan memberi bantuan dari segi semangat kepada mereka," katanya kepada Bernama pada Program Kemuncak Kerjaya 2017 anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan, di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai program itu, Saleh berkata program tersebut amat penting kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menentukan hala tuju mereka selepas tamat persekolahan.

''Sebelum ini mereka kekurangan ilmu dan maklumat mengenai kerjaya pada masa depan walaupun pernah dimaklumkan oleh kaunselor sekolah, namun dengan adanya program seperti ini ia lebih fokus, sekali gus dapat menyuntik semangat mereka,'' katanya.

Program Kemuncak Kerjaya 2017 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin itu disertai kira-kira 250 pelajar tingkatan lima serta guru-guru kaunseling dari sekitar daerah Seremban.

-- BERNAMA