Transaksi e-dagang catat lebih 10,000 aduan, nilai kerugian hampir RM12 juta - NCCC

Madiha Abdullah
Oktober 2, 2019 21:56 MYT
Pengurus Kanan Perundangan dan Undang-Undang NCCC, Shabana Naseer Ahmad, berkata aduan membabitkan transaksi e-dagang adalah yang tertinggi dengan 10,615 kes dilaporkan dengan nilai kerugian mencecah RM12 juta.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC) menerima 54,681 aduan daripada pengguna seluruh negara sepanjang tahun lalu yang membabitkan kerugian lebih RM360 juta.
Pengurus Kanan Perundangan dan Undang-Undang NCCC, Shabana Naseer Ahmad, berkata aduan membabitkan transaksi e-dagang adalah yang tertinggi dengan 10,615 kes dilaporkan dengan nilai kerugian mencecah RM12 juta.
Kes aduan tertinggi adalah membabitkan pembeli yang tidak berpuas hati kerana kegagalan mendapatkan bayaran balik daripada peniaga atau proses pengembalian wang yang mengambil masa terlalu lama.
"Platform dalam talian adalah cara paling mudah untuk menipu pengguna kerana anda tidak tahu siapa yang berurusan dengan anda. Selain menaikkan had tuntutan dari RM25,000 hingga RM50,000, perlunya inisiatif diambil dalam melakukan penyiasatan yang lebih teliti terhadap syarikat-syarikat ini dan untuk mendedahkan nama syarikat dalam media.
"Kami tidak dapat melakukannya kerana kami tidak mempunyai kebenaran tetapi saya fikir kerajaan harus meletakkan nama mereka dalam media jadi sekurang-kurangnya kita akan tahu dengan siapa kita harus berwaspada," kata Shabana.
Pembeli dinasihatkan agar lebih selektif dalam membuat pembelian atas talian dan membuat pemeriksaan terlebih dahulu jika syarikat itu telah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum membuat pembelian.
Ini kerana, pihak NCCC pernah berhadapan dengan kes di mana terdapat individu yang dibayar untuk membuat ulasan atau review, yang bertujuan menaikkan rating di platform jual beli.
"Satu contoh yang baik ialah Amazon. Apabila anda membeli sesuatu dan ingin membuat ulasan, mereka akan meminta anda untuk menunjukkan nombor invois jadi kita tahu ulasan itu sahih, saya pembeli dan saya yang memberi ulasan.
"Sebaliknya di Malaysia kita kesan beberapa individu yang membuat ulasan palsu. Mungkin kita harus mengikuti contoh bagaimana orang Eropah melakukannya," tambah Shabana.
Selain e-dagang, turut mencatatkan aduan tertinggi ialah sektor peruncitan dan telekomunikasi.
Sektor perumahan dan industri hartanah pula mencatat kerugian nilai kewangan tertinggi iaitu lebih RM133 juta, diikuti sektor automobil dan bengkel kenderaan dan pelancongan, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
#E-dagang #kerajaan #NCCC #pelancongan #pembeli #pengguna #peniaga #Pusat Khidmat Aduan Pengguna #Shabana Naseer Ahmad #Suruhanjaya Syarikat Malaysia #undang-undang
;