Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berkata tragedi itu jelas menunjukkan perlunya protokol keselamatan yang lebih jelas untuk semua pengendali bot patuhi sekali gus dapat mengurangkan risiko.
"Sebagai contoh, perlu ada prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan seorang pengemudi bot tidak boleh memulakan perjalanan selagi semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan. Aspek latihan yang secukupnya juga perlu diberi penekanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengendali dan kru bot juga perlu mempunyai sijil yang mengesahkan mereka sudah cukup terlatih dalam amalan keselamatan termasuk prosedur kecemasan, pertolongan cemas dan teknik menyelamatkan nyawa.
"Penumpang juga perlu diberikan pendedahan mengenai bahaya berkaitan perjalanan menggunakan perkhidmatan bot termasuk keadaan cuaca, kapasiti dan amalan menaiki bot yang selamat. Peranan komuniti setempat dalam menguatkuasakan amalan dan protokol keselamatan adalah sangat penting," katanya.
Lee berkata walaupun Jabatan Bomba dan Penyelamat bertindak pantas dalam kes itu namun menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan berkala ke atas bot bagi memastikan pematuhan piawaian keselamatan.
Beliau berkata pihak berkuasa juga harus memberi tumpuan kepada perkara berkaitan penyelenggaraan dan peralatan yang mencukupi seperti jaket keselamatan dan peranti komunikasi manakala bengkel berkala mengenai prosedur kecemasan harus dijalankan untuk kedua-dua pengendali serta penumpang.
"Penguatkuasaan had penumpang berdasarkan reka bentuk dan kapasiti kapal adalah penting kerana muatan berlebihan meningkatkan risiko insiden terbalik," katanya.
Kerjasama antara pihak berkuasa kerajaan, komuniti setempat dan pengendali bot juga memainkan peranan penting untuk memastikan keselamatan penumpang.
"Marilah kita sentiasa berwaspada untuk mengelakkan kehilangan nyawa ... ," katanya.
-- BERNAMA