Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 5 petang ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata di utara, trafik bergerak perlahan dari Ipoh Selatan ke Hentian sebelah Simpang Pulai.

Keadaan trafik yang sama juga berlaku di selatan dari Bukit Gambir menuju ke Jasin.

"Trafik juga dilaporkan perlahan dari Senawang menuju ke arah Seremban berikutan jumlah trafik yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik menuju Kuala Lumpur adalah perlahan di sepanjang dua kilometer menghampiri plaza tol Gombak.

"Bagaimanapun, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur di kedua-dua hala mulai sibuk namun terkawal," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.