Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin dan perwakilan asing.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, barisan Exco kerajaan negeri dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Majlis yang diadakan di tapak bersebelahan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson yang berlangsung dari 7.45 hingga 11 malam itu, dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Dr Wan Azizah dan Anwar turut beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tempatan antaranya Datuk M. Nasir, Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram, Black dan Syamel.

-- BERNAMA