JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Koordinator Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Panjaitan di luar Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia 2024 (ISF 2024) di sini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air dan delegasi diiringi Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku, mengadakan perbincangan kira-kira 30 minit dalam pertemuan dengan Luhut di Pusat Konvensyen Jakarta.

Selain topik kerjasama kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan ASEAN, mereka turut bertukar pandangan mengenai perkara melibatkan peralihan tenaga dan transformasi air.

"Kita melihat bagaimana kembangkan kerjasama antara Indonesia dan Malaysia serta saling membantu dalam konteks bekalan tenaga dan tenaga boleh baharu serta peningkatan kerjasama di rantau ASEAN," kata Fadillah kepada media.

Fadillah turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia membincangkan kerjasama pembangunan dalam sektor tenaga hijau.

Bahlil dilantik memegang portfolio sekarang pada 20 Oktober, dan beliau sebelum ini merupakan Menteri Pelaburan dan Ketua Lembaga Penyelaras Pelaburan.

Fadillah bersama delegasi berada di sini untuk menghadiri ISF dari 5 hingga 6 Sept atas jemputan Kerajaan Indonesia.

-- BERNAMA