KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan tiga projek bernilai RM182.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah hakisan yang semakin serius di sepanjang pesisir pantai Terengganu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof


Ringkasan AI
  • Kerajaan meluluskan tiga projek bernilai RM182.5 juta di bawah RMK12 untuk mengatasi hakisan pantai di Terengganu.
  • Projek di Pantai Kuala Nerus sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada September 2026, manakala dua lagi projek akan bermula pada awal 2027.
  • Kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri diperlukan untuk memastikan kejayaan projek, dengan cadangan penubuhan jawatankuasa bertindak.


Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek tersebut melibatkan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus dengan peruntukan RM69.91 juta, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Geliga, Kemaman dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Paka, Dungun.

"Projek di Pantai Kuala Nerus kini berada di peringkat pelaksanaan. Ia bermula pada 24 Julai 2023 dan dijangka siap pada 23 Sept 2026, dengan kemajuan setakat ini mencapai 22.3 peratus.

"Skop utama projek ini melibatkan pembinaan 16 struktur pemecah ombak (offshore breakwater) dari Telipot ke Sungai Gong Tuan Nit serta kerja penyuburan pasir pantai (beach nourishment) sepanjang dua kilometer," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid mengenai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani hakisan pantai yang mengakibatkan kerosakan jalan pesisir di Terengganu.

Fadillah turut memaklumkan bahawa dua lagi projek masih di peringkat prapelaksanaan, dengan skop utama melibatkan pembinaan struktur kawalan hakisan pantai seperti kerja penyuburan pasir serta pemecah ombak. Pembinaan fizikal bagi kedua-dua projek ini dijangka bermula pada awal 2027.

Menjawab soalan tambahan Che Alias mengenai kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek tersebut, Fadillah berkata kerjasama erat amat diperlukan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan.

"Ketika projek sedang dijalankan, musim tengkujuh boleh menyebabkan hakisan pantai yang lebih serius, mengakibatkan kehilangan tanah. Dalam keadaan ini, kerajaan negeri perlu melaksanakan pelupusan tanah bagi membolehkan projek diteruskan.

"Jika proses pelupusan ini mengambil masa terlalu lama, ia boleh menjejaskan kemajuan projek. Oleh itu, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting," katanya.

Sehubungan itu, Fadillah mencadangkan agar satu jawatankuasa bertindak ditubuhkan, yang akan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

-- BERNAMA