Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pembinaan Masjid baharu Ass-Saadah di Kampung Sungai Dulang Dalam di Sungai Sumun di sini.

Tanpa menyatakan jumlah peruntukan untuk pembinaan masjid itu, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata pembinaan masjid baharu itu perlu memandangkan ruang yang ada sekarang agak sempit.

"Saya luluskan peruntukan masjid baharu dengan syarat supaya jemaah di kampung ini datang solat pada waktunya. Penuhinya (masjid) dengan mengimarahkannya," katanya dalam ucapan ringkas selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 100 jemaah di sini.

Beliau yang tiba kira-kira 1 tengah hari turut beramah mesra dengan para kariah dan penduduk sekitar.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa meninjau persiapan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam selama 10 minit.

-- BERNAMA