Tourism Malaysia guna bloggers dan Instafamous promosi budaya pelbagai kaum
Wan Syamsul Amly
November 20, 2019 12:09 MYT
November 20, 2019 12:09 MYT
Tourism Malaysia (TM) menggunakan bloggers (penulis blog) dan influencers (pengguna media sosial berpengaruh) untuk berkongsi pengalaman sewaktu membuat lawatan ke inap desa di seluruh negara selain menggunakan mereka untuk mempromosikan budaya dan etnik negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik menjelaskan, ia sekali gus memberi peluang buat penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa mempelajari sedikit sebanyak budaya tempatan termasuklah budaya etnik di Sabah dan Sarawak.
“Bagi meningkatkan lagi promosi budaya pelbagai kaum dan etnik di peringkat antarabangsa, TM juga menjemput penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa untuk menyertai lawatan suai-kenal ke inap desa.
“Penulis, wartawan serta bloggers akan mengalami sendiri pengalaman unik tinggal bersama masyarakat tempatan serta mempelajari sedikit sebanyak budaya tempatan termasuklah budaya etnik Sabah dan Sarawak," katanya.
Muhammad Bakhtiar menjawab soalan Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) yang meminta penjelasan apakah usaha-usaha Kementerian dalam mempromosikan budaya masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai fokus utama di peringkat antarabangsa dan juga bertujuan mengelakkan hegemoni budaya asing di negara ini.
Dalam pada itu katanya, kementerian melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut mempromosikan budaya pelbagai kaum melalui pelaksanaan Festival Seni Hidup @ Living Arts Culture Festival.
“Ia bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan keunikan warisan seni budaya dalam menyemarakkan seni budaya yang kurang diketengahkan dan hampir pupus bagi menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.
“Antara usaha Kementerian bagi mengelakkan hegemoni asing adalah melalui penggubalan Dasar Kebudayaan Negara.
“Dasar ini telah dirangka secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada usaha-usaha pemuliharaan, pemeliharaan, dan perlindungan khazanah warisan bangsa, dan pengukuhan jati diri rakyat,” jelasnya lagi.
Tambahnya, kerjasama rapat dengan agensi-agensi pelancongan serta media dari luar negara akan terus ditingkatkan bagi mempromosikan “cultural tourism” di peringkat antarabangsa sebagai satu daya tarikan untuk menggalakkan mereka memilih Malaysia sebagai destinasi percutian sempena kempen Visit Malaysia 2020.