Beliau berkata amalan dan ideologi ekstrem ini bercanggah dengan nilai serta pegangan dalam sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian.
"Perkara ini (menolak amalam dan ideologi ekstrem) selari dan mendukung aspirasi Malaysia MADANI. Ini kerana, di bawah aspirasi ini, kita komited mahu menyerlahkan pegangan dan sistem nilai yang unggul.
"Pegangan dan sistem nilai unggul ini mengajak masyarakat supaya meletakkan ihsan, kesejahteraan insan serta keharmonian lingkungan sebagai matlamat bersama," katanya pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2024 dan Pelancaran Kad Veteran Digital di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Turut hadir Penaung KTP Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizudeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Datuk Laksamana Zulhelmy Ithnin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata seramai 48,000 veteran telah mendapat bantuan kebajikan melalui Tabung Pahlawan antaranya termasuk bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu, inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.
Beliau berkata sehingga kini seramai 300,000 anggota veteran direkodkan dan mereka merupakan golongan sasar untuk disantuni dan dibantu terutamanya melibatkan perkara-perkara yang tidak disediakan pihak kerajaan antaranya seperti bantuan susu khas dan lampin pakai buang.
"Malah, sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri," katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru lebih ramai individu dan syarikat korporat supaya menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan dan JHEV akan cuba memudahkan proses permohonan berkenaan kepada vateran yang memerlukan.
-- BERNAMA