Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai taktik dari mana-mana pihak yang menawarkan alat jimat elektrik sama ada secara langsung di premis-premis perniagaan atau pun di platform media sosial.

Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata terdapat pihak yang menjual produk ini menggunakan testimoni palsu kononnya oleh TNB atau kakitangan TNB.

“Untuk makluman pengguna, TNB tidak pernah memberi pengiktirafan kepada produk-produk sebegini.

“Pengguna yang ingin menyemak kesahihan dakwaan peralatan yang kononnya boleh menjimatkan elektrik bolehlah menghubungi pejabat Suruhanjaya Tenaga yang berhampiran," tambah beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau juga menasihatkan pengguna untuk menggunakan tenaga secara bijak dan mengamalkan langkah kecekapan tenaga.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tnb.com.my untuk tip-tip menjimatkan elektrik.