Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dinasihati mengikuti jejak Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar yang dipercayai memberi gambaran mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jika benar-benar ingin menceburi politik.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara ikhlas dengan penuh perasaan rendah diri memberitahu, selepas itu, TMJ sendiri dikira sudah mempunyai hak mutlak untuk bercakap atau memberi apa sahaja kenyataan mengenai perkembangan politik semasa.

“Sekiranya benar Tunku Temenggong Johor berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menceburi politik secara sepenuh masa, itu barulah cara yang betul.

“TMJ sepatutnya ikut prinsip ini. Kalau hendak cakap politik, ceburilah bidang politik secara sepenuh masa. Kaedah ini baru betul.

“Jangan berselindung di sebalik takhta dan membuat kenyataan-kenyataan berbaur politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.




Pada Isnin, gambar tangkap layar daripada Instagram rasmi Tunku Idris Iskandar yang memberi gambaran mahu bertanding pada PRU15, mula tersebar.

Gambar tangkap layar itu memaparkan Tunku Idris berpakaian rasmi diraja berserta keterangan “I am running #PRU-15” (Saya bertanding PRU-15).

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Tunku Idris memuat naik gambar berkenaan kerana semakan pada laman Instagram milik beliau mendapati tiada sebarang kenyataan dimuat naik seperti yang ditularkan.

BACA: TMJ jangan cakap isu yang tidak difahaminya - Khairuddin

BACA: Majlis Raja-Raja perlu tegur TMJ - Khairuddin


Dalam pada itu Khairuddin secara jujur ‘angkat topi’ seandainya benar Tunku Idris Iskandar berhasrat untuk bertanding pada PRU15 kelak.

Tambahnya, sejarah telah membuktikan bahawa ramai daripada kerabat diraja berjaya dalam bidang politik.

“Antara kerabat-kerabat diraja yang berjaya dan cemerlang di bidang politik seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Razaleigh Hamzah, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, Tengku Azlan Shah dan beberapa nama lagi.

“Kita bukan marah kepada TMJ tetapi beliau tidak memahami asas Perlembagaan berteraskan Raja Berperlembagaan.

“Adalah tidak adil untuk melibatkan diri serta membuat pelbagai kenyataan politik kerana kerabat diraja dapat berselindung di sebalik takhta,” jelasnya.

Katanya lagi, kerabat diraja juga disifatkan boleh mengkritik dan mengkutuk orang-orang politik tanpa asas kukuh tetapi rakyat marhaen tidak boleh mengkritik kerabat diraja kerana tertakluk di bawah Akta Hasutan serta berbagai akta-akta lain yang menyalahi undang-undang.