LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan sebanyak 13 buah kapal tentera laut negara asing akan menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata terdapat dua negara lagi yang belum mengesahkan penyertaan mereka di pameran berkenaan dan mereka masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

"Kami masih lagi menunggu dua buah negara yang masih belum mengesahkan lagi kehadiran mereka.

"Secara keseluruhan kami mengharapkan dua kapal yang keseluruhannya 15 kapal tentera laut asing daripada negara serantau dan luar seperti Itali dan Amerika Syarikat untuk sertai LIMA'23," katanya dalam sidang media selepas hadir Hari TLDM ke-89 Tahun 2023 di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Pameran LIMA'23 bertemakan 'Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia' dengan kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan pada 2019.

Mengulas mengenai kurangnya penyertaan kaum lain dalam TLDM, Abdul Rahman berkata TLDM tidak pernah menetapkan sebarang kuota kaum.

"TLDM membuka peluang kepada semua kaum untuk menyertai TLDM. Saya berpandangan kaum lain kurang minat adalah disebabkan perkembangan kerjaya," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah menetapkan kuota kaum bagi pengambilan anggota ATM.

Beliau dilapor berkata pengambilan dibuat dua kali dalam setahun melibatkan pengambilan dengan jumlah 6,000 hingga 7,000 anggota.

Sementara itu, ketika berucap sempena Hari TLDM, Abdul Rahman berkata TLDM berhadapan dengan cabaran keusangan aset.

Beliau berkata dengan mengambil kira keupayaan tempur armada yang semakin terhakis akibat usia aset meningkat, TLDM kini dibelenggu dengan cabaran untuk menyelenggara aset sedia ada.

"Pada masa sama, tuntutan operasi yang tinggi dan penglibatan dalam eksesais berskala besar turut memberi kesan terhadap rancangan atur gerak aset.

"Melihat kepada cabaran dan kebimbangan ini, TLDM dan Kementerian Pertahanan giat berusaha untuk memperkasakan keupayaan dan meningkatkan infrastruktur aset TLDM antaranya memastikan projek Littoral Combat Ship (kapal tempur pesisir) diteruskan dengan segera mengikut perancangan telah disusun.

Selain itu, rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang telah usang turut diberi perhatian, katanya.

-- BERNAMA