Menurut Presiden Kumpulan Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, lebih 2,000 tanda tangan telah dikumpul sepanjang tinjauan itu.
"Kami bersama-sama mengharungi lautan manusia di pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman. Tidak sampai satu jam, kami telah berjaya mengumpul lebih 2,000 tandatangan untuk Deklarasi Rakyat," kata Syed Saddiq di laman Instagramnya.
Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr Afif Bahardin dan Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Pada 4 Mac lepas, Dr Mahathir bersama lebih 50 pemimpin dan bekas pemimpin menandatangani Deklarasi Rakyat bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan jawatan.
Selain itu, deklarasi ini juga menuntut untuk mengembalikan integriti institusi yang didakwa telah dilemahkan, seperti polis, SPRM , Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).