KUCHING:Tiga sektor asas harus diberi penekanan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dalam memacu agenda pembangunan di daerah tersebut.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sektor-sektor tersebut adalah sektor perkhidmatan, pelancongan dan pertanian.

Jelas beliau, melihat kepada potensi Padawan, kerajaan negeri Sarawak giat melaksanakan pelbagai perancangan dan projek yang melibatkan naik taraf infrastruktur ekoran lokasinya yang berhampiran Kuching, Kota Samarahan dan Serian. 

“MPP mempunyai kelebihan berbanding Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Sebagai contoh, sektor pertanian. DBKU dan MBKS hanya memiliki hartanah, namun mereka tidak mempunyai tanah untuk menjalankan pertanian kecuali berkebun di rumah.  MPP ada kelebihan dari aspek ini.

“Padawan ada kelebihan dari aspek pertanian dan eko-pelancongan,” katanya.


Mengulas lanjut, ujar Abang Johari, MPP boleh menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak untuk menguruskan sektor berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha melaksanakan pembangunan secara terancang oleh pihak MPP sejak majlis perbandaran tersebut ditubuhkan.

Katanya, usaha tersebut berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh 24 tahun sejak MPP ditubuhkan.

Tambah beliau, polisi pembangunan perlu menjadi dasar utama bagi setiap perancangan strategik yang dilaksanakan di setiap kawasan perbandaran.

Untuk itu, komposisi kaum dan perkembangan pelbagai sektor di setiap kawasan perbandaran perlu diberi keutamaan kerana perkara ini memberi pengaruh yang cukup besar dalam memacu ekonomi sesebuah kawasan.

Beliau berkata demikian pada majlis ulang tahun MPP ke-24 dan mural ‘Ring Ladies’ di Padawan pada Isnin.

Sementara itu, bagi Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang, beliau melihat Padawan telah berjaya membangun dengan pesat sejak penubuhannya pada 1956.

Namun pembangunan tersebut tidak akan terhenti di situ sahaja. Malah pelan pembangunan daerah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan menaik taraf perkhidmatan dan memperluas fungsi perbandaran untuk memenuhi kehendak rakyat.

“Memperbaiki infrastruktur jalan raya, terutamanya longkang menjadi keutamaan Majlis Perbandaran Padawan yang merangkumi Puncak Borneo dan Matang dengan anggaran RM800 juta.

“MPP bersama-sama dengan menteri hendaklah mencari dan mendapatkan lebih banyak geran untuk menjayakan inisiatif itu,” katanya pada majlis yang sama.

Untuk rekod, sejak 2016 hingga 2020, MPP telah melaksanakan sejumlah 375 projek bernilai RM82.8 juta termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek rakyat.