Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 pagi, dan seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.
"Sampai di lokasi benar berlaku kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan melanggar sebuah kereta Perodua Viva.
"Berikutan kejadian itu, mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Komander Operasi melaporkan, pasukan Bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," jelasnya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dengan lori tangki minyak di Jalan Gambang - Kampung Lepar Hilir, di Kuantan, pada Selasa.
Mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan kakaknya Siti Mazurah, 30, dari Felda Lepar Hilir, yang menaiki kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zulfadli berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Taman Tas termasuk pasukan Bomba bantuan dari BPP Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 malam.
"Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit. Pasukan Bomba melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.
"Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori tangki mengawal kenderaan ketika memandu.
"Kejadian itu menyebabkan lori tangki terbabit merempuh Proton Wira dinaiki dua beradik terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit, dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan awal, keadaan jalan lurus, sistem jalan satu lorong satu hala, permukaan jalan rata tetapi permukaan jalan basah kerana hujan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu lori itu turut ditahan untuk siasatan lanjut tetapi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati ketika kejadian bebas daripada pengaruh dadah.