PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan tidak timbul isu tender terbuka berhubung pelantikan dua syarikat pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di negeri itu.


Ringkasan AI
  • Hanya dua syarikat dengan kebenaran POC dari APAD dilantik untuk Projek Rintis DRT Selangor, tidak timbul isu tender terbuka.
  • Proses pelantikan tidak melibatkan syarikat lain kerana hanya dua syarikat tersebut memenuhi syarat POC pada masa itu.
  • Kerajaan negeri Selangor bersedia mendedahkan prosedur lantikan, menunjukkan ketelusan penuh.


Amirudin berkata, proses kelulusan dibuat selepas pertimbangan dan rujukan daripada Agensi Pengangkutan Awam dan Darat (APAD) yang memaklumkan hanya dua syarikat berkenaan telah diberikan kebenaran proof of concept (POC).

"Kerajaan telah menjemput kedua-duanya jadi tak timbul isu (tidak panggil syarikat lain). Kalau kita buat tender terbuka pun hanya dua syarikat berkenaan mempunyai kebenaran POC pada ketika itu.

"Jadi kena faham, jangan melulu cakap tender terbuka atau tidak. Ia cuba dikelirukan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan atau menimbulkan isu yang tak timbul," katanya berhubung isu pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) milik suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau ditemui pada sidang akhbar Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor dan PKNS Selangor Masters di Kelab Seri Selangor pada Khamis.

Selain Asia Mobility, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT turut mengambil pendekatan bersetuju melantik Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) selaku pengendali DRT.

Amirudin berkata, kedua-dua syarikat itu tidak mendapat projek sebaliknya kelulusan POC yang perlu melalui proses percubaan perkhidmatan DRT tersebut.

"Saya tengok ada satu kenyataan dibuat oleh seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang agak naif mempersoalkan punca tidak mengambil syarikat e-hailing lain.

"Syarikat e-hailing lain tidak dapat kebenaran APAD. Ini bukan syarikat yang menawarkan pergerakan bebas tetapi ada jajaran yang harus diberikan kebenaran oleh APAD.

"Kenapa tak ambil Prasarana? Untuk makluman Prasaran hanya muncul kemudian selepas Asia Mobility dan Badan Bas mendapat kebenaran," jelasnya.

Tegasnya, kerajaan negeri tiada masalah untuk mendedahkan prosedur lantikan dua syarikat tersebut termasuk minit mesyuarat bersama APAD.

"Kerajaan negeri terbuka kerana mempunyai akta kebebasan maklumat yang beri ruang untuk mereka dapatkan dokumen. Tidak ada benda pelik dan sebagainya," katanya. - Sinar Harian