"Lebih 10 tahun bekerja di Singapura, inilah kali pertama saya berhadapan situasi kerja sebegini, berjauhan dari keluarga bagi tempoh lama dan terpaksa bersabar demi sesuap nasi," demikian luah seorang juruteknik bidang gas dan kimia di republik itu.

R. Thambirajah, 50, merupakan antara ribuan rakyat Malaysia yang memilih tinggal di Singapura bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac lepas untuk mengekang penularan COVID-19.

"Majikan memberi peluang kepada kami sama ada untuk bekerja atau tidak, saya dan ramai rakan lain memilih untuk bekerja kerana tidak tahu sekiranya tempoh perintah (Malaysia) dipanjangkan atau mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

"Sekiranya tidak bekerja dalam tempoh dua minggu ini atau lebih, sumber kewangan kami akan terjejas, dan sebenarnya kami terpaksa bersabar, menahan rindu terhadap keluarga dan akur pada perintah yang dikeluarkan," katanya kepada Bernama.

Thambirajah yang tinggal di Skudai, Johor berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura turut menyalurkan bantuan kewangan sebanyak $50 setiap hari kepada majikan terlibat sebagai bantuan perumahan kepada setiap pekerja.

"Dengan ini, saya meminta semua rakyat untuk mematuhi perintah ini, mereka perlu memandang serius perkara ini. COVID-19 perlu 'hilang' segera, kasihani kami yang terpaksa kerja dari jauh," katanya.

Seorang juruteknik dalam bidang sama, Kamarudin Abdullah, 25, berkata pilihan tinggal bekerja di Singapura adalah pilihan terbaik buatnya memandangkan beliau mempunyai pelbagai tanggungjawab yang memerlukan kewangan kukuh.

"Ada antara rakan saya yang tidak dapat turut serta atas sebab kecemasan dan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Saya memanfaatkan peluang ini dan berkorban demi kebaikan.

"Majikan menyediakan hotel di kawasan Bugis dan perjalanan ke kilang hampir mengambil masa sejam, sama seperti kesesakan yang perlu dihadapi kalau berulang dari Johor," katanya yang mempunyai lima adik-beradik dan berharap agar dapat pulang ke Malaysia dengan kadar segera.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari bermula Rabu lepas, bagi mengekang penularan COVID-19.

Perintah itu, antara lain merangkumi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara, selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke Malaysia.

Sementara itu, seorang pembantu jururawat di sebuah klinik di Orchard, Singapura, J. Anushri, 22, turut memilih tinggal di republik berkenaan untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini atas faktor pekerjaan, memandangkan baru sahaja mula bekerja dua minggu lalu.

"Saya memang dah lama tunggu agar dapat bekerja di Singapura, jadi untuk mengelakkan isu permit dan memikirkan peluang pekerjaan, saya terpaksa berkorban," katanya yang berasal dari Ayer Tawar, Perak.

Katanya, majikan beliau turut memohon agar dia bekerja dalam tempoh dua minggu ini disebabkan kekurangan kakitangan di klinik, serta berharap pandemik COVID-19 segera berakhir.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibenar meneruskan pekerjaan masing-masing di repubik itu, hasil persetujuan kerajaan Singapura untuk menyediakan tempat tinggal selama dua minggu bagi pekerja terlibat.

-- BERNAMA