Tiada keperluan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di seluruh Kedah, biarpun berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kaedah PKPD kini sudah berubah dan tidak sama seperti sewaktu PKPD mula diperkenalkan dahulu.

Katanya, pada awalnya PKPD dilaksanakan secara keseluruhan daerah, sebelum dikecilkan kepada mukim, dan kini diperkecilkan lagi kepada lokaliti mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kalau tiada keperluan mengikut KKM untuk kawal secara daerah, mukim maka kita tidak perlu buat.

"Sebelum keputusan dibuat, mesyuarat menteri-menteri dan KKM akan buat kajian dahulu. KKM akan bentangkan dan nasihatkan. Kalau KKM kata tidak perlu, kita tidak buat," jelas beliau.

Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM di Savana Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.

Kata Ismail Sabri lagi, sekiranya PKPD dilaksanakan di seluruh Kedah, ia tidak adil kepada penduduk di kawasan berstatus hijau.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Noor Hayati Othman sebelum ini dilapor mencadangkan agar kerajaan Pusat mengenakan PKPD secara pentadbiran di negeri itu berikutan peningkatan kes COVID-19.