Wakil media mula berkumpul sejak jam 5 petang sehingga 10 malam di kediaman peribadi Najib.
Pada jam 6.30 petang kelihatan kenderaan rasmi yang membawa isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memasuki perkarangan rumahnya selepas difahamkan pulang daripada satu majlis rasmi di Bangi.
Kira-kira jam 7.15 malam kenderaan rasmi yang membawa Najib tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta.
Sekitar kediaman Perdana Menteri di Jalan Duta
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalang komplot menggulingkan kerajaan akan berjumpa Najib di kediamannya sekitar jam 6 petang Ahad.
Ia kerana pemimpin UMNO yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan itu telah sedar akan kesalahannya dan bersedia untuk bertemu Perdana Menteri.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan memang ada rancangan meminta anggota Parlimen BN supaya 'menyeberang' bersama-sama dengan pihak pembangkang dengan menandatangani surat aku janji untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.
Tambahnya UMNO tidak akan mengizinkan sebarang cubaan untuk mengulingkan kerajaan melainkan melalui pilihan raya.