KUALA LUMPUR:Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia awal tahun ini, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia telah membuktikan tiada halangan dalam 'kamus kehidupan' mereka untuk terus berbakti kepada kelompok memerlukan.
Kelompok memerlukan itu tidak terhad kepada mereka yang berada dalam negara, malah pelarian dan kelompok terjejas di luar negara, termasuk di zon konflik dan bencana, turut dibantu.
Mereka sanggup berdepan dengan pelbagai risiko, termasuk ancaman COVID-19, semata-mata untuk memastikan kelompok memerlukan diberi perhatian, terutama dalam menyediakan keperluan asas makanan, perubatan dan bantuan yang lain.
"Sebagai seorang Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang memerlukan. Apa saja halangan (termasuk cabaran COVID-19), kita akan cuba atasi untuk berkhidmat," kata Bendahari Kehormat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Faris Hussain kepada Bernama sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa semalam.
Mungkin ramai yang tidak tahu, seramai 10 sukarelawan MAPIM, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery kini berada di dalam wilayah bergolak Syria.
Sukarelawan MAPIM yang berlepas ke Turki sejak November lalu untuk memasuki Syria, antara lain dalam misi kemanusiaan mengagihkan 30 kontena bantuan musim sejuk (pakaian musim sejuk, selimut dan makanan), merasmikan sekolah dibina MAPIM di Idlib Syria, merasmikan kampung wakaf Malaysia untuk 1,000 pelarian Syria dan membina kilang roti.
Sepanjang tahun ini, komitmen sukarelawan Malaysia di arena antarabangsa jelas terbukti apabila beberapa NGO Malaysia, termasuk Malaysia For Syria (MFS), Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menghantar misi kemanusiaan ke luar negara walaupun berdepan risiko dijangkiti COVID-19.
Pada Ogos lalu, misalnya, ketiga-tiga NGO terbabit telah menghantar sukarelawan ke Lubnan selama dua minggu dengan bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM200,000 yang terdiri daripada bantuan makanan, perubatan dan membaiki rumah ketika berlakunya insiden letupan besar di Pelabuhan Beirut.
"Jujurnya, misi ke Lubnan pada Ogos lalu adalah tanda terima kasih rakyat Malaysia kepada warga Lubnan yang selama ini membantu dan memberi perlindungan kepada pelarian Syria dan Palestin," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFS Syahrir Azfar.
Syahrir berkata sejak dua minggu lalu, seramai 50 sukarelawan anak muda Malaysia telah terbabit dalam urusan penyediaan bantuan musim sejuk membabitkan empat kontena dengan nilai bantuan RM1 juta.
Bantuan musim sejuk yang mengandungi pakaian musim sejuk, lampin pakai buang dan makanan itu disediakan dengan kerjasama MFS, GPM, MVM, Cinta Syria Malaysia (CSM), Peduli Insan Malaysia, MyFund Action, Rizk Ar-Rahman dan NGO Haluan.
"Empat kontena ini akan dihantar dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Beirut. Kita juga akan menghantar empat sukarelawan ke Lubnan pada misi kemanusiaan musim sejuk pada Januari nanti," kata Syahrir yang menceburi bidang sukarelawan sejak lebih 10 tahun lalu.
Tidak hanya menghulur bantuan di persada dunia, Sukarelawan Malaysia juga tidak ketinggalan menabur bakti di dalam negara, misalnya, sukarelawan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Mercy Malaysia yang menggerakkan sukarelawannya membantu petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menangani COVID-19, termasuk di zon merah.
NGO perubatan terbabit turut menyumbang ubat-ubatan, peralatan perubatan dan alat perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka yang sebelum ini pernah mengalami kekurangan bekalan akibat permintaan mendadak di pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Uniknya bagi IMARET (dan Mercy Malaysia), kebanyakan sukarelawan kita adalah merupakan barisan hadapan di hospital atau klinik, selepas waktu pejabat, mereka membantu secara sukarela," kata Koordinator Task Force COVID-19 IMARET Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim.
Katanya, beliau amat berbangga dengan sukarelawan Malaysia kerana ketika dunia diuji dengan pandemik COVID-19, ramai individu tampil ke depan untuk menjadi sukarelawan dan membantu walaupun kehidupan mereka juga terjejas.
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan melipatgandakan kerja 'komunikasi sukarelawan' bagi mengoptimumkan peranan kelompok itu dalam situasi menangani pandemik COVID-19 dan juga membangunkan komuniti digital.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Dec 05 2020

Sepanjang tahun ini, komitmen sukarelawan Malaysia di arena antarabangsa jelas terbukti apabila beberapa NGO Malaysia menghantar misi kemanusiaan ke luar negara walaupun berdepan risiko dijangkiti COVID-19. - Gambar hiasan

Selepas disingkir, Mohalim dan Umarul umum bubar IKLIM
Jelas Mohalim, pembubaran IKLIM adalah jalan terbaik ketika ini memandangkan kemelut yang melanda (pemecatan) adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan di luar jangkaan.
Jejantas Tun Teja lonjak ekonomi setempat
Ikon pelancongan terbaharu Melaka, Jejantas Tun Teja sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi peniaga kecil dan sederhana yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.
DBKL ambil alih pengurusan bazar, tawar sewaan berpatutan
Bermula tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan bazar Ramadan dan Aidilfitri di ibu kota, termasuk urusan permohonan lesen, pengoperasian tapak serta kawalan bazar.
598 warga asing ditahan di Klang, ada yang sanggup sembunyi dalam longkang
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Jafri Embok Taha berkata, kesalahan dilakukan merangkumi tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, salah guna pas dan pelbagai kesalahan lain.
AWANI Ringkas: Reformasi Institusi, Perkukuh Demokrasi
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Dua RUU penting dibentang Isnin depan - Fahmi
Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas dalam sidang Parlimen kali ini untuk diluluskan.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini, RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini, RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Sultan Ibrahim berangkat pulang selepas rawatan di luar negara
Yang di-Pertuan Agong berangkat ke luar negara 7 Feb lalu untuk menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’.
Perkhidmatan tren di PWTC, Titiwangsa, Sentul, Sentul Timur terjejas
Seorang penumpang disahkan terjatuh di kawasan landasan di stesen LRT Titiwangsa pada pagi Sabtu.

Lelaki OKU maut jatuh landasan LRT Titiwangsa
Pemeriksaan lanjut menunjukkan mangsa hilang keseimbangan lalu terjatuh di kawasan rel LRT sebelum dilanggar sebuah tren.
[TERKINI] Lelaki OKU maut digilis tren LRT di Stesen Titiwangsa
Mangsa yang jatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiada halangan dalam 'kamus' sukarelawan Malaysia untuk terus berbakti
Kelompok memerlukan itu tidak terhad kepada mereka yang berada dalam negara, malah pelarian dan kelompok terjejas di luar negara, termasuk di zon konflik dan bencana, turut dibantu.

1M4U rancang program sukarelawan di seluruh negara secara serentak
1M4U turut mengambil inisiatif melancarkan aplikasi telefon pintar 1M4U bagi menghubungkan sukarelawan.