IPOH: Bazar Ramadan boleh dianjurkan di dalam kawasan masjid di Perak selagi ia mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) dan syarat yang ditetapkan, ujar Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun katanya, penganjuran bazar berkenaan perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan oleh jawatankuasa masjid seperti prosedur biasa sebelum ini.

"Tempat itu hendaklah dipersetujui oleh jawatankuasa masjid dan mempunyai lesen yang perlu diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Walaupun dulu PBT tidak mengenakan bayaran lesen, tetapi lesen tetap kena dapatkan untuk tujuan itu (bazar Ramadan)," katanya.

Saarani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, urusan tapak dan lokasi yang bersesuaian juga bergantung kepada jawatankuasa masjid.

"Tiada masalah (bazar Ramadan), cuma tapak itu bergantung kepada keputusan jawatankuasa masjid yang berkenaan," katanya lagi.

Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kebenaran membuka tapak bazar Ramadan di dalam kawasan masjid dengan syarat mendapat khidmat nasihat daripada PBT di daerah masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa masjid untuk mengadakan perbincangan dengan PBT.

Ia sekali gus menggalakkan pihak masjid menganjurkan bazar sepanjang bulan Ramadan sebagai satu aktiviti dan sumber ekonomi kepada masjid dalam tempoh pandemik.