JOHOR BAHRU: Kerajaan hari ini bersetuju mengecualikan caj jalan RM20 bagi kenderaan motor pendaftaran Singapura selama seminggu mulai 1 April.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangannya dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Layang-Layang berkata, keputusan itu sekali gus dapat meringankan sedikit beban untuk warga Malaysia, khususnya rakyat Johor yang berada di Singapura.

"Terima kasih Yang Berhormat Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan Malaysia kerana bersetuju untuk mengecualikan pembayaran Road Charge yang dikenakan kepada semua kenderaan pendaftaran Singapura berkaitan yang akan memasuki Malaysia, untuk tempoh 7 hari mulai 1 April 2022 sehingga 7 April 2022.

"Semoga pengumuman ini akan membantu meringankan sedikit beban Bangsa Johor dan rakyat Malaysia yang berada di Singapura apabila balik nanti.

"Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya melalui catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.


Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula sepenuhnya, bermula 1 April.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula sempadan negara, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

Bermula 1 April juga, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Dalam satu kenyataan bersama, Ismail Sabri dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kedua-dua negara mengakui perkembangan memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.