GEORGE TOWN:Saban tahun, sambutan Thaipusam di Pulau Pinang meriah dengan kehadiran puluhan ribu penganut Hindu serta pelancong tempatan dan antarabangsa mengunjungi kuil di Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam, Jalan Kebun Bunga, di sini.

Namun, sambutan tahun ini jelas berbeza apabila julung kalinya, pengurusan kuil dan ahli jawatankuasa  menyambutnya dalam suasana norma baharu dengan mengambil inisiatif melakukan upacara keagamaan menerusi dalam talian menggunakan platform media sosial.

Menurut Pengerusi Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam, Datuk R. Subramaniam, pendekatan itu dibuat bagi memastikan semua penganut Hindu tidak ketingggalan dalam menunaikan kewajipan mereka meskipun tidak dapat hadir ke kuil.

“Tahun ini persekitaran berubah (akibat penularan COVID-19), jadi kami sama-sama berdoga semoga tahun depan akan menjadi lebih baik untuk kita menyambut Thaipusam dan menjadi tahun yang hebat untuk semua orang.

“(Justeru) untuk tahun ini, sambutan Thaipusam akan siarkan secara langsung bermula semalam yang memberi peluang kepada semua penganut agama Hindu untuk menonton dan berdoa.

“Kami tidak mahu menghampakan penganut agama Hindu, apa sahaja yang berlaku di kuil ini dapat disaksikan mereka secara langsung,” kata Subramaniam.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (kanan) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, S.Pathmanathan (tiga, kanan) memeriksa kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga supaya mematuhi SOP. - Gambar BERNAMA

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di sekitar kuil mendapati suasana lengang tanpa kehadiran penganut Hindu seperti kelazimannya.

Pihak pengurusan juga akur apabila tidak membenarkan pengunjung masuk ke kuil sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) memutuskan membatalkan acara yang memerlukan rakyat negeri itu berkumpul sepanjang perayaan Thaipusam termasuk perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan bagi mengekang penularan wabak
COVID-19.