Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais menegaskan kepada Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Kevin Morais.

S. Ravi Chandaran, 47, bagaimanapun mengakui dia sememangnya bertanggungjawab memadam nombor casis dan nombor enjin kenderaan mangsa pada hari mangsa dilaporkan hilang serta bertanggungjawab kerana tidak melaporkan apa yang diketahuinya kepada pihak polis.

“Saya tidak mengatakan saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dalam kes ini, tetapi kehilangan Kevin Morais dengan saya tidak ada kaitan.

“Saya bertanggungjawab atas pemotongan (memadam nombor casis dan nombor enjin) keretanya dan saya tidak membakar keretanya. Saya cuma berdiri di situ dan lihat. Saya bertanggungjawab atas tidak memberitahu mengenai hal-hal ini,” katanya ketika pemeriksaan utama Peguam V.Rajehgopal pada prosiding membela diri hari Ke-20 di sini.

Gambar fail

Kepada soalan Rajehgopal bilakah kali terakhir tertuduh melihat Kevin Morais, Ravi Chandaran berkata pada pagi 4 Sept 2015, ketika kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu anak saudaranya, S. Nimalan, yang merupakan tertuduh keenam terlibat kemalangan dengan kereta Proton Perdana V6 mangsa di Jalan Dutamas, tidak jauh dari kondominium dihuni mangsa, di sini.

Saksi pembelaan keenam itu berkata selepas kejadian kemalangan itu, dia tidak lagi melihat Kevin Morais dan hanya mengetahui mengenai mangsa melalui berita di televisyen.

Menjawab soalan sama ada tertuduh menolong untuk membuang jasad Kevin Morais atau pernah melihat jasad mangsa selepas 4 Sept, Ravi Chandaran menjawab, “Soalan-soalan yang ditanya oleh peguam tidak ada kaitan dengan saya,” katanya.


R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan pakar patologi tentera, Kolonel Dr R. Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin. 



Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 27 Ogos.

-- BERNAMA