KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang bermula sejak awal pagi ini telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.

Kejadian tersebut tular di media sosial melalui video yang menunjukkan runtuhan tanah berlaku berhampiran kawasan perumahan.

Aliran air deras dari bukit turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang di sekitar rumah dan kenderaan penduduk.

Beberapa penduduk turut berkongsikan video insiden itu di media sosial memaparkan kerosakan yang berlaku.



Menurut kenyataan awal daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, kejadian itu berlaku sekitar jam 11:42 pagi.

Komander operasi, Shamsul Shahar, yang tiba di lokasi bersama anggota bomba, mengesahkan bahawa runtuhan tanah melibatkan lereng bukit berkeluasan 20x20 meter dengan ketinggian runtuhan mencecah 30 meter.

"Kejadian tidak melibatkan mangsa dan kediaman. Namun, masih berlaku pergerakan tanah di kawasan kejadian," jelasnya dalam laporan awal.

Setakat ini, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk.