Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengotakan janji untuk memberi royalti petroleum kepada Kelantan.

Nik Abduh berkata perkara itu berada di luar jangkaannya memandangkan kerajaan negeri itu telah dinafikan hak sejak sekian lama.

"Saya pernah berjumpa dengan Tun Abdullah (Ahmad Badawi) dan Yang Berhormat dari Pekan dan mereka masih bersetuju bahawa Kelantan tidak ada hak ke atas royalti tersebut yang diperjuangkan oleh PAS.

"Agak susah untuk dua perdana menteri membuka kunci besar yang telah dikunci oleh YB Langkawi. Tetapi takdir Allah bahawa kunci yang begitu kukuh itu akhirnya Allah hantar YB Langkawi semula untuk membukanya. Itu takdir yang tak mampu saya fikirkan sebelum ini.

"Oleh itu, saya nak ucap terima kasih kepada YB Langkawi," katanya dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mengakui pernah bersifat pesimis terhadap Dr Mahathir serta janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu untuk memberi royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak di negara ini.

Nik Abduh yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata kesungguhan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir itu dipuji berikutan Kelantan tidak menerima royalti minyak sebaliknya menerima wang ehsan sejak 2010.

-- BERNAMA