SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM20,000 ke atas pembantu penjaga sebuah pusat asuhan kerana melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak berusia antara lima dan enam tahun, tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Pembantu penjaga pusat asuhan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM20,000 kerana mendera empat kanak-kanak dengan menekap sudu besi panas pada lengan mereka.
  • Tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan perlu menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam serta mengikuti sesi kaunseling untuk mengawal kemarahan.
  • Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM50,000.


Pada prosiding berasingan, Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Hakim Datin Surita Budin memerintahkan Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 5 Sept 2024 dan sekiranya gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara tambahan selama 20 bulan.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.

Mahkamah juga memerintahkan Puteri Nurin Amalina menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan bagi setiap empat pertuduhan yang berjalan secara berturutan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Selain itu, Surita mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling yang diadakan oleh pegawai khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantunya mengawal kemarahan.

Berdasarkan pertuduhan, Puteri Nurin Amalina didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak itu telah menganiaya mereka dengan menekap sudu besi panas pada lengan mangsa sehingga melecur di sebuah pusat jagaan dekat sini pada Ogos 2024.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati menekap sudu panas itu sebagai hukuman terhadap kanak-kanak terbabit yang telah mengambil makanan ringan di pusat asuhan tersebut.

Berdasarkan laporan sosial tertuduh, Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Azlina Mohd Salleh berkata gadis itu merupakan anak bongsu daripada enam beradik, sentiasa membantu keluarga serta berkemahiran membuat kek dan kuih.

Peguam tertuduh Najib Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan mengambil kira fakta bahawa tertuduh adalah pesalah muda yang sangat menyesal dengan perbuatannya.

"Saya mohon mahkamah mengambil kira niat tertuduh menggunakan hukuman menekap sudu panas kepada mangsa adalah bertujuan untuk mendidik.

"Dia juga daripada keluarga berpendapatan rendah, bapanya bercucuk tanam dan ibunya menjual kuih, dia juga berhasrat mahu menyambung pengajian di peringkat vokasional dalam bidang pembuatan roti dan pastri selepas menjalani hukuman," katanya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Ku Hayati Ku Haron pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh dan mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Tindakan menjatuhkan hukuman (menekap sudu besi panas) terhadap mangsa kerana makan makanan ringan adalah tindakan berlebihan, kita mengetahui sifat kanak-kanak memang suka makan," katanya.

-- BERNAMA