Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza turut mengakibatkan 33 mangsa lain cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa maut adalah pemandu MPV jenis Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 dan bapanya, Ramli Ab Wahab, 66.
Turut maut adalah anak pasangan suami isteri berkenaan, Muhammad Umar, 2, pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, serta dua lagi masing-masing penumpang bas dan MPV yang belum dikenal pasti identitinya.
Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, parah dan Nur Sofea Humaira, 4, cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.
Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Ashari berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu.
Menurutnya, rempuhan kuat mengakibatkan kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian
Tambah Ashari mayat mangsa telah diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan semua kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.