Tawan tiga puncak Himalaya: 'Reda jika temui ajal demi negara' - Khairil Aslan

Wan Syamsul Amly
Disember 27, 2015 17:36 MYT
PENDAKI SOLO: Tawan tiga puncak Himalaya: Reda jika temui ajal demi negara' - Gambar fail
Pendaki solo, Khairil Aslan Ab Rasid yang berjaya menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu dalam tempoh sebulan sanggup meninggalkan keluarga malah menemui ajal demi mencipta nama untuk negara.
Anak jati Batu Kurau, Taiping itu berkata, kepuasan mendaki merupakan pengalaman berharga yang tidak diperolehi di mana-mana universiti.
Ujarnya, sokongan keluarga selain menyerahkan diri dalam mengharungi cabaran menjadikannya semakin kuat untuk mengharungi misi mendakinya.
"Apa sahaja yang terjadi redha, semua ini ketentuan Ilahi, ajal maut di tanganNya. Saya hanya ambil langkah berhati-hati. Kalau ditentukan ajal di sana itulah ajal kita," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Khairil Aslan, 40, berjaya menawan tiga puncak iaitu Puncak Mera, Lobuche dan Island dalam tempoh sebulan bermula pertengahan November.
Menceritakan perkara itu, Khairil Aslan berkata ketika itu cuaca sangat tenang dan dalam tempoh tiga jam pendakian cuma angin bertiup pada kelajuan sekitar 60 hingga 70 km/sejam adalah perkara biasa.
Menurut pendaki itu apabila tiba pada ketinggian 5,900 meter pada pukul 4 pagi, cuaca berubah dengan angin kencang dan suhu sejuk turun mendadak di Rabung Crampon Point dengan kelajuan tiupan sekitar 140 hingga 160 km/sejam.
Jelasnya, sebelum ini dia telah diuji apabila merasai sendiri gempa bumi Nepal pada April tahun ini.
Gempa bumi Nepal adalah gempa bumi yang paling kuat telah melanda Nepal sejak Gempa bumi Nepal-Bihar 1934 dan lebih 1900 orang dilaporkan telah meninggal dunia.
Jelasnya, kerajaan Perak memberi lampu hijau pendakian ke tiga puncak selepas latihan pendakian di Acheh.
"Tiga puncak ini adalah latihan untuk menguji sejauh mana kemampuan saya untuk ke puncak. Saya pilih ekspedisi musim sejuk kerana pendakian ini 10 kali ganda lebih susah dari pendakian biasa. Latihan 32 hari ke tiga puncak Himalaya merupakan semangat untuk cita-cita tahun akan datang.
"Saya mahu menjadi pendaki solo pertama Asia yang menghabiskan tujuh puncak tujuh benua dalam masa satu tahun," ujarnya.
Katanya lagi, doa serta semangat isterinya, Hamizah Hashim, 36, anaknya, Nur Ainnajwa Safhia, 16, Muhammad Najman Harith, 14 dan Muhammad Najmie Haziqq, 6 akan menjadi perangsang untuknya melengkapkan misi tahun depan dengan penuh bersemangat lagi.
#himalaya #Khairil Aslan Ab Rasid #pendaki #rabung crampon point
;