Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, melalui nasihat perjalanan yang dimuat naik di laman Facebooknya, menggesa pelancong khususnya yang menuju ke kawasan Villipuram dan Tiruvannamalai, supaya mengambil langkah berjaga-jaga sehingga keadaan kembali stabil.
"Beberapa kawasan di daerah itu terjejas akibat tanah runtuh dan hujan lebat dan pihak berkuasa tempatan kini sedang menjalankan usaha menyelamat dan pemulihan.
"Kami menasihatkan semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan memberikan kerjasama terhadap operasi bantuan yang sedang dijalankan. Keselamatan anda adalah keutamaan kami," menurut kenyataan itu.
Menurut Konsulat Jeneral, rakyat Malaysia perlu mengambil maklum akan berlaku kelewatan dan gangguan perjalanan akibat banjir, tanah runtuh serta kemungkinan kerosakan pada infrastruktur.
Konsulat itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan serta sentiasa berwaspada, tambahnya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai di alamat No. 7 (No. Lama 3), 1st Street, Cenotaph Road, Teynampet, Chennai 600 018, Tamil Nadu, India, atau menelefon 0091 44 2433 4434/35/36, faks ke 0091 44 2433 4437, atau melalui e-mel di mwchennai@kln.gov.my.
-- BERNAMA