Tarik tayar 322km bukan untuk cari glamor - Khairil Aslan

Wan Syamsul Amly
Ogos 23, 2016 07:24 MYT
KHAIRIL ASLAN: 'Tarik tayar 322 km bukan untuk cari glamor' - Gambar fail
Masyarakat mungkin menganggap menarik tayar dengan bebanan 30 kilogram (kg) sejauh 322 kilometer (km) dari Bangi ke Dataran Warisan Taiping, Perak adalah kerja gila atau sia-sia.
Namun, itu yang akan dilakukan pendaki solo, Khairil Aslan Ab Rasid bermula Khamis dan dijangka menamatkan perjalanannya pada malam Hari Kebangsaan 2016.
Khairil akan mengharungi kira-kira 70 sehingga 80km sehari dalam hujan atau panas demi hadiah kepada negara sempena bulan kebangsaan.
Katanya, misi berjalan dan menarik tayar itu dilakukannya sebagai salah satu latihan memenuhi misi paling besar iaitu menjadi Muslim pertama dunia dan pendaki kedua dunia melengkapkan misi Grand Slam.
"Ia latihan bagi memenuhi (persiapan) ekspedisi selepas ini. Pada waktu sama saya ingin menjadi rakyat Malaysia yang memberi sumbangan sempena kemerdekaan.
"Saya hadiahkan ekspedisi solo tarik tayar dengan bebanan kepada negara sebagai tanda rakyat yang sayangkan negara," katanya ketika ditemui.
Pada akhir tahun lepas, Khairil melakar sejarah apabila berjaya menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal.
Kejayaan anak jati Batu Kurau, Taiping itu merupakan satu sejarah apabila menawan tiga puncak iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh sebulan.
Kesukaran latihan
Khairil memberitahu, dia melakukan latihan dengan menarik kira-kira lima sehingga tujuh kilometer sehari di Putrajaya.
Bagaimanapun dia akur akan menghadapi kesukaran cuaca, berjerebu, hujan, panas dan permukaan jalan tidak rata sepanjang perjalannya kelak.
"Beban dia apabila menarik bebanan di atas permukaan kasar. Bukan masalah 30kg tetapi cuaca.
"Pukul 10 pagi cuaca sudah panas tetapi saya percaya akan menamatkan 322km ini dengan jayanya," jelasnya.
Khairil menambah, latihannya selama ini memang melampaui kemampuan dirinya demi ketahanan mental dan fizikal semasa menghadapi situasi mendaki atau ekspedisi menarik tayarnya.
"Bagi saya dengan latihan melebihi badan sendiri, saya rasa selesa. Kita mengharungi benda yang tidak kita jangka kita hadapi.
"Saya hendak buat latihan untuk pendakian gila, jadi latihan perlulah gila," katanya.
TONTON: Pendaki solo redha jika temui ajal demi negara
TONTON: Mahu jadi pendaki Islam pertama tawan tujuh puncak
Cari dana
Khairil bagaimanapun mengakui masih kekurangan dana untuk menjadi rakyat pertama negara yang menawan puncak Gunung Himlung, Nepal.
Katanya, dia memerlukan dana yang cukup bagi menampung kos pendakian yang dijadual bermula pada awal September ini.
"Masalah saya masih tidak cukup dana. Saya harap dana badan korporat atau kerajaan untuk bantu jayakan misi ini iaitu pencapaian pendakian yang tertinggi dunia," ujarnya.
Ketika ditanya saranannya untuk belia di negara ini, Khairil mahu setiap individu melakukan kegiatan yang memberi motivasi kepada orang lain untuk berjaya.
"Saya harap nama Malaysia ada di mata dunia, di puncak dunia. Walaupun negara kita kecil, ada satu anak muda yang berjiwa kental dan memberi motivasi kepada belia-belia lain pada masa hadapan," katanya.
#Hari Kebangsaan #himalaya #Khairil Aslan Ab Rasid #pendaki #rabung crampon point
;