"Tanpa kawan saya mungkin dah masuk penjara" - Ahmad Maslan
Hilmi Malik
Januari 21, 2020 14:01 MYT
Januari 21, 2020 14:01 MYT
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berdepan dua tuduhan berkaitan penggubahan wang haram berjumlah RM2 juta berterima kasih kepada rakan seperjuangannya yang telah membantu dalam melunaskan bayaran wang jaminan sebanyak RM500,000.
“Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada kawan-kawan yang membantu wang jaminan RM500,000.
"Syukur kerana kawan-kawan ada, tanpa rakan saya mungkin dah masuk penjara,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam sesi pendakwaan sebelum itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang berkaitan penggubahan wang haram.
Ketika sesi pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @Zainol memohon agar Ahmad membayar wang jaminan sebanyak RM1 juta ekoran kesnya yang agak serius sebelum mahkamah menetapkan bayaran RM500,000.
Sementara itu peguamnya, Hamidi Mohd Noh turut menegaskan pertuduhan terhadap anak guamnya tiada sebarang kaitan dengan wang dari dana 1 Malaysia Development Behad (1MDB) seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Hakim, Azman Ahmad menetapkan tarikh 21 Februari sebagai sebutan semula kes.
BACA: Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan
#1MDB
#Ahli Parlimen Pontian
#Ahmad Maslan
#AMLA
#Kuala Lumpur
#Mahkamah Sesyen
#penggubahan wang haram
#SPRM