PORT DICKSON: Port Dickson merupakan penyumbang kepada pengeluaran utama perikanan tangkapan negeri mencecah 502.6 tan metrik dengan pengeluaran ikan secara keseluruhan bernilai RM10.42 juta tahun lepas.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe berkata spesies ikan demersal (habitat di dasar laut) seperti ikan semilang, kerapu dan pari paling banyak di perairan itu, meliputi 259.89 tan metrik berbanding 179.97 tan metrik bagi spesies ikan pelagik (talang, tenggiri, senangin, alu-alu).

Beliau berkata sejumlah RM49,800 peruntukan pembangunan disalurkan kepada Pejabat Perikanan negeri bagi memperkasakan sumber perikanan sedia ada menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi Perolehan Perkakasan dan Peralatan Peranti Pengumpulan Ikan (Unjam).

"Terdapat seramai 480 nelayan Zon A dan 359 buah vesel berdaftar di daerah ini, aktiviti menangkap ikan di sini akan menjadi lebih baik dengan adanya unjam. Unjam merupakan peranti pengumpul ikan digunakan oleh nelayan pantai bagi membantu operasi penangkapan ikan dan perikanan rekreasi.

"Kaedah penangkapan ikan dengan bantuan unjam ini boleh meningkatkan tahap kecekapan penangkapan ikan dan mengurangkan kos operasi nelayan," katanya kepada pemberita pada majlis myUnjam 2024 Bersama Komuniti Nelayan Bagan Pinang, di Pantai Bagan Pinang di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Hengyuan Refining Company (HRC) Berhad Luke Yin.

Kasim berkata sebanyak 106 unit unjam dilabuhkan di perairan Port Dickson selain pihaknya melepaskan 5,000 benih ikan merah di perairan itu bagi meningkatkan sumber perikanan sedia ada.

"Peningkatan ketara terhadap jumlah hasil pendaratan ikan di kawasan unjam kali pertama pada Jun lepas oleh pemancing rekreasi berjaya mendaratkan ikan seperti ikan sagai, ikan GT (Giant Travelly) atau ikan gerepoh, ikan talang raya dan ikan tenggiri," katanya.

Sementara itu, Luke berkata menerusi program berkenaan pihaknya berhasrat untuk mengambil langkah bersama dalam mengatasi cabaran dihadapi persekitaran marin seperti penangkapan ikan berlebihan, pencemaran dan perubahan iklim.

HRC turut berharap dapat meneruskan kerjasama itu bagi menyumbang kepada ekonomi perikanan tempatan sambil memelihara ekosistem marin demi generasi akan datang.

-- BERNAMA