Suasana pilu mengiringi upacara tersebut yang dihadiri hampir 300 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.
Cuaca mendung, kadangkala hujan dari Sepang ke Kuala Lumpur ibarat memahami hati mereka yang hadir.
![Yelena tidak dapat menahan sebak semasa upacara pengebumian adiknya. - fotoBERNAMA](http://img.astroawani.com/2016-02/51454485077_freesize.jpg)
Selain kedua ibu bapa, Allahyarham meninggalkan dua abangnya, Muhamad Ariel Maseri, 26, Muhamad Adrien Maseri, 25, serta kakaknya Yelena Maseri, 24.
![Selain kedua ibu bapa, Muhamad Aaron (duduk, kiri) meninggalkan dua abangnya, Muhamad Ariel (berdiri, kiri), Muhamad Adrien (berdiri, kanan) serta kakaknya Yelena (duduk, kanan). - Gambar ihsan keluarga](http://img.astroawani.com/2016-01/41453880846_freesize.jpg)
"Saya mewakili seluruh keluarga rasa amat bersyukur ke hadrat Illahi. Kami selamat sampai ke Malaysia dan proses pengebumian berjalan dengan lancar.
"Saya amat berterima kasih kepada semua terutama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London (Datuk Ahmad Rasidi Hazizi) dan kakitangannya, termasuk seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya sejurus selesai upacara pengebumian.
Jenazah sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, 7.18 pagi tadi.
Jenazah yang dibawa menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH0003 turut diiringi ahli keluarganya yang turut berlepas dalam pesawat yang sama.
Selesai proses tuntutan jenazah di Kompleks Kargo KLIA, jenazah dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad (atau masjid KLIA) bagi upacara solat jenazah.
![Maseri bersama ahli keluarga dan kenalan mengaminkan doa ketika jenazah anaknya disembahyangkan di Masjid Sultan Abdul Samad sejurus tiba di KLIA pagi tadi. - fotoBERNAMA](http://img.astroawani.com/2016-02/71454485089_freesize.jpg)
Dalam kejadian pada petang 26 Januari lalu, Muhamad Aaron, pelajar Middlesex University, dilaporkan dilanggar tren bawah tanah (TUBE) di Stesen Marble Arch ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Mengikut laporan akhbar The Standard, jurucakap Pengangkutan London, berkata mangsa masih hidup sejurus dilanggar namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba bagi merawat mangsa.