Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, filem Tanda Putera tidak sesuai ditayangkan kepada umum sebaliknya ia hanya boleh ditonton oleh kumpulan tertentu sahaja.

Namun menurut Muhyiddin, keputusan penangguhan tayangan filem itu kepada umum adalah satu keputusan yang bersifat sementara.

"Ia (Tanda Putera) tidak ditayangkan kepada khalayak umum tetapi untuk kumpulan tertentu sahaja. Bagi saya, ia mungkin telah diputuskan oleh pihak bertanggungjawab.

"Saya pun menyaksikan bagaimana hasilnya dan apakah kesannya. (Justeru) kita memutuskan buat sementara tidak sesuai untuk ditayangkan di pawagam-pawagam," kata Muhyiddin pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa filem berkenaan telah ditayangkan secara terbuka kepada hampir 3,000 peneroka Felda pada satu majlis khas di Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

Tayangan berkenaan tidak termasuk dalam senarai aturcara majlis yang dihoskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Felda.

Tayangan itu turut disaksikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tanda Putera yang diterbitkan dengan belanja lebih kurang RM5 juta diarahkan oleh Shuhaimi Baba. Ia diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang membiayai penerbitannya bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec).

Tayangan filem berkenaan ditangguhkan oleh kabinet pada November tahun lalu kerana beberapa adegan dalam filem berkenaan dikatakan boleh mencetuskan keresahan masyarakat.

Tanda Putera mengisahkan hubungan antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dengan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dengan latar belakang peristiwa selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Penerbitan filem itu mencetuskan kontroversi selepas pemimpin pembangkang mendakwa ia tidak memberikan gambaran sebenar peristiwa berdarah itu.