AMPANG JAYA: Penduduk Jalan E6, Taman Melawati yang diarah mengosongkan kediaman selepas kejadian tanah runtuh pagi Selasa, dinasihat tidak pulang ke rumah untuk bermalam kerana pergerakan tanah masih dikesan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat susulan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG)  Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Gombak, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Bagaimanapun beliau berkata, penduduk yang terjejas masih dibenarkan pulang untuk mengalihkan kenderaan serta mengambil barangan penting dari kediaman masing-masing.

“Masih terdapat pergerakan tanah di lereng. Sehubungan itu beberapa tindakan diambil seperti pihak MPAJ akan meletakkan kanvas plastik di lereng bagi mengelak hakisan lebih teruk, dengan harapan akan mengurangkan pergerakan tanah.

“Kita juga ingin menasihatkan penduduk di lorong E6, penduduk dari 20 rumah kesemuanya untuk tidak masuk ke rumah hari ini,” katanya lagi.

Setakat ini Mohd Azam berkata, seramai 33 penduduk dari 11 keluarga kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai JKP Zon 1 MPAJ, dan mereka juga dibenarkan untuk menumpang di rumah saudara masing-masing.

Terdahulu media melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati pada jam 11.30 pagi akibat hujan lebat.

Tanah runtuh berlaku di lereng bukit berkeluasan 30x18 meter serta runtuhan setinggi 30 meter.

Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan bomba mengawasi kawasan berkenaan berikutan masih berlaku pergerakan tanah di lokasi.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan penduduk Taman Melawati pernah menyuarakan kebimbangan mengenai insiden tanah runtuh kepada pihak MPAJ sebelum ini.

Mereka kesal kerana mendakwa tiada tindakan berkesan diambil bagi mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan tersebut, wakil MPAJ yang berada di sidang media tersebut enggan untuk mengulas lanjut.