AMPANG JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya lebih peka dengan setiap laporan dibuat penduduk kawasan berisiko tanah runtuh.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya lebih peka terhadap laporan penduduk di kawasan berisiko tanah runtuh.
  • Tindakan awal seperti memberi nasihat kepada pemilik tanah persendirian perlu diambil untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.
  • Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu lebih berwaspada, termasuk jabatan atau agensi yang berkaitan, untuk memberi amaran awal.


Beliau berkata, ini kerana tindakan awal boleh diambil termasuk memberi nasihat kepada pemilik tanah persendirian bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Sebab itu saya ingatkan tadi kita tak boleh pandang rendah laporan dibuat termasuk di kawasan risiko.

"Dalam kes ini pemilik pembangunan tersebut harus diingatkan atau diberitahu, saya dimaklumkan dalam tempoh dua tiga bulan ada laporan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk Taman Melawati yang telah membuat laporan kepada MPAJ mengenai risiko kejadian tanah runtuh sebelum ini.

Semalam, beberapa penduduk di kawasan terjejas mendakwa laporan berkenaan dibuat berhubung aliran air yang dikesan di kawasan lereng terbabit beberapa bulan lalu.

"Lepas ini semua pihak harus (peka), kalau tanah hak milik Kerajaan Persekutuan misalnya jabatan atau agensi tertentu perlu maklumkan. Paling tidak, kita bagi amaran awal kepada pihak terbabit,"katanya.