Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam.
Katanya lagi, operasi SAR hari ini turut menggunakan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah.
“Setakat ini tiada pergerakan tanah dilaporkan namun masih terdapat aliran air dan keadaan tanah yang lembut dikhuatiri menyebabkan pergerakan dan gelinciran tanah,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Norazam menambah cabaran utama ketika ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan terdapat aliran air dalam tanah dan kedudukan cerun pada tahap 45 darjah, selain ketebalan runtuhan tanah yang mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki.
Operasi SAR bersambung pada 8 pagi ini dengan beberapa agensi digerakkan ke lokasi insiden tanah runtuh.
Ia termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 21 orang, 12 dikhuatiri hilang
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.