Bagaimanapun, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan, berdasarkan input daripada Geoventure Solution Sdn Bhd dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), ketepatan GPR dipengaruhi permukaan tidak rata dan tidak stabil serta tanah lembap.
Menurut NADMA keadaan itu boleh menyebabkan cerapan data alat canggih itu kurang tepat.
DAPATKAN LIPUTAN KOMPREHENSIF INSIDEN TANAH RUNTUH BATANG KALI
"Bagi mendapatkan hasil yang optimum pula, julat frekuensi yang boleh digunakan oleh alat GPR adalah dari 100 MHz hingga 1000 MHz, namun untuk kes tanah runtuh di Father's Organic Farm itu, frekuensi yang digunakan adalah 500MHz yang boleh menembusi sehingga lima meter ke bawah tanah," menurut kenyataan itu.
NADMA berkata penggunaan alat itu adalah sebagai usaha membantu mencari mangsa yang masih hilang walaupun peluang kejayaannya belum dapat dipastikan.
Empat alat tersebut diperoleh satu daripada JUPEM, dua daripada Geoventure Solution dan satu daripada Agensi Nuklear Malaysia.
Menurut NADMA, GPR berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.
"Berdasarkan corak gelombang tersebut, hipotesis berkaitan anomali dan perbezaan sifat magnetik dapat dibuat iaitu dalam konteks sekarang, hipotesis yang dibuat adalah badan atau mayat manusia," menurut NADMA.
Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu sehingga kini menyaksikan 61 mangsa selamat, 26 terkorban dan tujuh masih hilang.
-- BERNAMA