Operasi SAR yang ditangguhkan pada jam 11 malam tadi diteruskan semula pada jam 8 pagi ini yang kini memasuki hari kesembilan.
Sejak beberapa hari lalu, operasi SAR berdepan cabaran cuaca tetapi pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi terus bekerja keras mencari mangsa yang masih hilang.
Mangsa terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki, dengan tumpuan pencarian hari ini difokuskan kepada sektor A (Hillview).
Difahamkan, operasi SAR hari ini melibatkan 53 anggota, dibantu oleh 10 unit anjing pengesan (K9), serta sembilan unit jengkaut.
Setakat Jumaat, operasi SAR dengan kerja-kerja penggalian ulangan telah melebihi 70 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor dilaporkan berkata operasi pada hari kelapan memberi tumpuan penggalian di sektor C (Riverside).
Sementara, empat mangsa yang ditemukan pada Khamis merupakan satu keluarga dari Taman Machap Indah, Machap Baru, Melaka telah dituntut waris.
Tragedi tanah runtuh berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban, manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit.