HULU SELANGOR: Jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini pada Jumaat lalu adalah 92 orang dan bukannya 94 seperti dilaporkan sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berlaku kekeliruan mengenai jumlah mangsa pada awalnya dan setelah beberapa semakan dibuat pihaknya berpuas hati bahawa jumlah sebenar adalah 92 orang.

"Jadi kita buat rumusan bahawa jumlah sebenar, ini rasmi kecuali ada mana-mana pihak lagi datang tuntut ada ahli keluarga yang hilang.

"Jumlah yang rasmi adalah 92 orang, kurang dua orang. Berdasarkan jumlah tersebut, yang telah kita jumpai meninggal dunia 30 orang, yang selamat 61, dan yang kita belum jumpa lagi maknanya ada satu sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada petang Khamis.

Seramai 92 mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, satu masih hilang


Tambah Arjunaidi, berlaku dua pertindihan nama dalam pendaftaran di tapak perkhemahan berkenaan.

Mengulas lanjut ujarnya, ketika ini seorang sahaja mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.

"Kita teruskan operasi, saya tak boleh bagi keputusan sehingga jumpa, atau apabila kita terima arahan terbaharu.

"Hari ini kita tangguh sehingga keadaan selamat kita menyambung operasi, ketika ini hujan lebat pihak JUPEM kena periksa sama ada terdapat pergerakan tanah atau tidak.

"Ya, seorang kanak-kanak lelaki," katanya.