Begitu pun, mayat kanak-kanak yang juga mangsa ke-31 ‘gagal dikesan’ meskipun menggunakan bantuan anjing dari unit pengesan (K9).
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya akui hampir berputus asa sekiranya mangsa tidak ditemukan hari ini.
“Untuk makluman sebenarnya semalam kita tidak dapat perkhabaran langsung tentang mangsa terakhir ini. Jadi sebenarnya kita pun dalam keadaan yang gelisah dan putus asa.
“Untuk makluman tempat itu dah dilalui oleh pasukan SAR banyak kali termasuk pengarah (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) kita sendiri telah lalu, timbalan pengarah juga lalu tetapi tak pernah jumpa.
“Mungkin nak ditunjukkan kita berjumpa dengan mangsa yang terakhir ini dan saya amat-amat bersyukur kita dapat habiskan operasi hari ini pada hari kesembilan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada malam ini.
Terdahulu, mayat terakhir berjaya ditemukan di sektor A (Hillview) oleh anggota SAR di dalam ‘sleeping bag’ sekitar jam 4.53 petang.
Menceritakan kesukaran mengesan mayat terakhir tersebut, Hafisham menambah kemungkinan besar mangsa berada di kedudukan sedikit terlindung.
Namun, beliau berkata pasukan SAR sejak dari awal yakin bahawa mangsa berada di sektor A memandangkan ahli keluarga mangsa turut ditemukan di lokasi sama.
Katanya lagi, mayat mangsa terakhir ditemui pada jarak sekitar 300 meter dari lokasi ayah dan kakaknya.
“Ayah dan kakak dia sudah temui pada hari pertama, di kawasan sektor A.
“Jadi bila sudah bertemu di sektor A itu, dia pun mungkin ada di sektor tersebut, tak kan dia berada di tempat lain atau khemah yang lain.
“Itu lah yang meyakinkan kita dia akan berada di situ tetapi sekiranya pada hari ini, contoh saya bagi kalau hari ini kita tak jumpa di sektor A, saya sebenarnya dah putus asa,” ujarnya lagi.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir dijumpai
Mengulas lanjut, Hafisham berkata, meskipun beliau mula berputus asa tetapi pencarian tetap diteruskan sehingga ke titik akhir.
“Kita syukur, Alhamdulillah dan tawakal kepada Allah dan juga daripada sahabat-sahabat kita yang mendoakan kepada kita, mungkin doa dia makbul.
“Ini adalah satu konsep siasatan kes dan kerjasama antara semua agensi yang amat baik.
“Ini boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada mana-mana pihak sekiranya berlaku bencana lagi,” tambah Hafisham.
Hafisham berkata, sehingga operasi SAR hari kesembilan, 80 peratus kerja-kerja penggalian telah dilakukan di lokasi kejadian.
Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, seramai 31 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organiz Farm, dengan 61 individu terselamat daripada 92 mangsa terlibat.